Daisypath Vacation tickers

Ahad, 13 Mac 2011

Pelbagai Gelagat


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Pada minggu lepas, satu karnival telah diadakan di kolej kediaman saya. Karnival tersebut diadakan selama seminggu. Semasa karnival tersebut berlangsung, terdapat ramai peniaga yang menyewa tapak khemah yang disediakan di sekitar kawasan kolej untuk menjual pelbagai barangan masing-masing termasuklah makanan, pakaian, buku-buku dan sebagainya. 

Saya sendiri tidak melepaskan peluang berjalan-jalan di sekitar kolej untuk melihat barangan yang dijual. Sekadar mencuci mata sahaja. Menurut pemerhatian saya, ramai peniaga yang cuba menarik perhatian pelanggan dengan menuturkan ayat-ayat yang manis atau ayat yang mampu menarik perhatian pelanggan untuk singgah dan membeli barang di kedai masing-masing. Antara ayat tersebut ialah;


  • Mari..mari..dekat sini je dapat harga murah macam ni, tempat lain mahal..
  • Ini stok yang terakhir..lepas ni dah tak ada jual..kalau lambat memang tak dapatlah dekat mana-mana lagi..
  • Kain ni memang sedaplah pakai..lembut je, sesuai dengan warna kulit awak..

Saya pasti anda semua juga pernah berhadapan dengan para peniaga yang menggunakan ayat-ayat manis sebeginikan? Macam-macamkan? Tapi, itulah antara strategi yang mereka gunakan untuk menarik perhatian pelanggan mereka. 

.::WASSALAM::.

Selasa, 8 Mac 2011

Uniknya Kepelbagaian Bangsa


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Di Malaysia, terdapat kepelbagaian bangsa dan budaya bukan? Perhatikan sisi kehidupan kita sendiri, pasti ada kepelbagaian bangsa tersebut. Begitu juga dengan kehidupan saya sendiri. Rakan-rakan saya di universiti ini ada yang terdiri dalam kalangan mereka yang berbangsa Cina, India, Iban, Bidayuh dan sebagainya. Suka untuk saya katakan di sini bahawa Malaysia sememangnya memiliki keunikannya yang tersendiri.

Saya tertarik melihat komunikasi pelbagai yang dituturkan melalui bahasa masing-masing. Ada ketikanya saya seperti mahu belajar bahasa tersebut daripada mereka. Seandainya dapat saya belajar bahasa tersebut daripada mereka dan seterusnya memahami bahasa itu, saya akan dapat berkomunikasi dengan mereka dengan lebih mudah mungkin. Sememangnya bahasa bagi sesuatu bangsa itu unik untuk dipelajari. Begitulah indahnya Malaysia.



.::WASSALAM::.

Isnin, 7 Mac 2011

Emosi Tidak Menentu



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.


Saya kadangkala tidak memahami dengan tingkah laku seseorang yang apabila dia tertekan dengan tugasan yang banyak, maka dia dengan mudah akan mempamerkan reaksi wajah dan suara yang kurang sopan seolah-olah tidak mahu melayan sebarang pertanyaan dan gurauan rakan-rakan yang lain. Wajah yang dipamerkan juga adakalanya masam mencuka dan nada suara juga mungkin seolah-olah memberitahu kita bahawa dia tidak mahu melayan sebarang gurauan saat itu.  

Pada saya, seandainya emosi kita berada dalam keadaan tidak menentu atau tidak mahu diganggu saat orang lain menegur kita, kita perlulah pandai mengawal setiap emosi kita saat itu. Gunakanlah kata-kata yang sopan supaya rakan-rakan kita tidak terasa dengan setiap tingkah laku kita ketika itu. Bukankah bahasa yang kita gunakan menggambarkan budi bahasa kita? Jadi, renung-renungkanlah dan selamat beramal.

.::WASSALAM::.

Ahad, 6 Mac 2011

Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda lebih baik dari sebelumnya.


Pada tanggal 5 Mac 2011 iaitu pada hari Sabtu bertempat di Auditorium Utama (UPSI), telah diadakan satu diskusi khas yang membincangkan isu berkaitan dengan Tatabahasa Dewan dan diskusi tersebut diberi tajuk "Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini". Diskusi tersebut telah bermula seawal jam 8.30 Pagi dan berakhir kira-kira jam 12.30 Tengah hari. Diskusi ini telah disampaikan oleh penulis Tatabahasa Dewan sendiri iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Selain daripada beliau, dua orang penceramah lain yang dijemput ialah Pn. Norliza Jamaluddin dan Encik Rusli b. Abd. Ghani. Pn. Norliza merupakan salah seorang tenaga pengajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sendiri. Manakala, En. Rusli Abd. Ghani merupakan Pengarah Penyelidikan Bahasa dan Kesusasteraan DBP. 

Diskusi yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) ini sebenarnya dilihat dapat memberikan gambaran kepada hadirin yang hadir tentang arah tuju Tatabahasa Dewan pada masa akan datang. Tatabahasa Dewan dilihat masih relevan untuk dijadikan rujukan bagi pengkaji bahasa. Segala-galanya dilihat terkandung lengkap dalam tatabahasa tersebut. Pelbagai persoalan juga ditimbulkan oleh hadirin ketika diskusi tersebut berlangsung. Semoga program sebegini terus dianjurkan pada masa akan datang supaya bahasa Melayu kekal terpelihara dan mendapat perhatian masyarakatnya.






.::WASSALAM::.

Khamis, 3 Mac 2011

Gaya Sebutan


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Kadang-kadang kita ini sememangnya mudah dipengaruhi bukan? Apabila kita mendengar perbualan rakan-rakan kita misalnya yang datang dari pelbagai negeri dan daerah, kita akan meniru loghat atau dialek yang digunakan. Misalnya,

Lawa - Lawo
Tampar - Tampo
Lapar - Lapo
Besar - Beso
Sabar - Sabo

Perkataan-perkataan di atas sebenarnya disebut dalam dialek daerah Muar. Namun, kebanyakan rakan-rakan saya yang sememangnya berasal dari Johor juga tidak kira daerah mana sekalipun menyebut perkataan-perkataan seperti di atas dengan menggantikan dua huruf terakhir yang biasanya terdiri daripada 'ar' dengan 'o'. Perkara yang ingin saya nyatakan di sini ialah komunikasi kita dengan seseorang individu jangan sesekali dibataskan kerana kita akan dapat memahami dan melihat kepelbagaian tutur percakapan seseorang yang berasal dari pelbagai daerah dan negeri.

.::WASSALAM::.

Selasa, 1 Mac 2011

Mengapa Manusia Ego?



Assalammualaikum w.b.t dan Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda akan lebih baik dari sebelumnya.


Ego? Ya, ego merupakan satu perasaan fitrah semula jadi yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada setiap manusia. Namun sebenarnya, perasaan ego kita ini boleh dikawal dengan menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Perasaan ego ini memungkinkan kita untuk bertindak melakukan sesuatu tanpa mempedulikan perasaan orang lain. 

Saya sebenarnya amat terkilan dengan sikap sesetengah orang yang mempunyai perasaan ego yang tinggi di mana apabila dia melakukan sesuatu kesalahan, sukar sekali untuk dia mengakui kesalahan tersebut dan mengucapkan sepatah kata yang berbunyi "Maaf". Bukan sesuatu yang susah untuk menuturkannya melainkan bagi mereka yang memiliki hati sekeras batu. Belajarlah untuk mengakui kesilapan diri kerana kita ini insan yang tidak sempurna. Renung-renungkanlah.

.::WASSALAM::.