Daisypath Vacation tickers

Ahad, 13 Mac 2011

Pelbagai Gelagat


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Pada minggu lepas, satu karnival telah diadakan di kolej kediaman saya. Karnival tersebut diadakan selama seminggu. Semasa karnival tersebut berlangsung, terdapat ramai peniaga yang menyewa tapak khemah yang disediakan di sekitar kawasan kolej untuk menjual pelbagai barangan masing-masing termasuklah makanan, pakaian, buku-buku dan sebagainya. 

Saya sendiri tidak melepaskan peluang berjalan-jalan di sekitar kolej untuk melihat barangan yang dijual. Sekadar mencuci mata sahaja. Menurut pemerhatian saya, ramai peniaga yang cuba menarik perhatian pelanggan dengan menuturkan ayat-ayat yang manis atau ayat yang mampu menarik perhatian pelanggan untuk singgah dan membeli barang di kedai masing-masing. Antara ayat tersebut ialah;


  • Mari..mari..dekat sini je dapat harga murah macam ni, tempat lain mahal..
  • Ini stok yang terakhir..lepas ni dah tak ada jual..kalau lambat memang tak dapatlah dekat mana-mana lagi..
  • Kain ni memang sedaplah pakai..lembut je, sesuai dengan warna kulit awak..

Saya pasti anda semua juga pernah berhadapan dengan para peniaga yang menggunakan ayat-ayat manis sebeginikan? Macam-macamkan? Tapi, itulah antara strategi yang mereka gunakan untuk menarik perhatian pelanggan mereka. 

.::WASSALAM::.

Selasa, 8 Mac 2011

Uniknya Kepelbagaian Bangsa


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Di Malaysia, terdapat kepelbagaian bangsa dan budaya bukan? Perhatikan sisi kehidupan kita sendiri, pasti ada kepelbagaian bangsa tersebut. Begitu juga dengan kehidupan saya sendiri. Rakan-rakan saya di universiti ini ada yang terdiri dalam kalangan mereka yang berbangsa Cina, India, Iban, Bidayuh dan sebagainya. Suka untuk saya katakan di sini bahawa Malaysia sememangnya memiliki keunikannya yang tersendiri.

Saya tertarik melihat komunikasi pelbagai yang dituturkan melalui bahasa masing-masing. Ada ketikanya saya seperti mahu belajar bahasa tersebut daripada mereka. Seandainya dapat saya belajar bahasa tersebut daripada mereka dan seterusnya memahami bahasa itu, saya akan dapat berkomunikasi dengan mereka dengan lebih mudah mungkin. Sememangnya bahasa bagi sesuatu bangsa itu unik untuk dipelajari. Begitulah indahnya Malaysia.



.::WASSALAM::.

Isnin, 7 Mac 2011

Emosi Tidak Menentu



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.


Saya kadangkala tidak memahami dengan tingkah laku seseorang yang apabila dia tertekan dengan tugasan yang banyak, maka dia dengan mudah akan mempamerkan reaksi wajah dan suara yang kurang sopan seolah-olah tidak mahu melayan sebarang pertanyaan dan gurauan rakan-rakan yang lain. Wajah yang dipamerkan juga adakalanya masam mencuka dan nada suara juga mungkin seolah-olah memberitahu kita bahawa dia tidak mahu melayan sebarang gurauan saat itu.  

Pada saya, seandainya emosi kita berada dalam keadaan tidak menentu atau tidak mahu diganggu saat orang lain menegur kita, kita perlulah pandai mengawal setiap emosi kita saat itu. Gunakanlah kata-kata yang sopan supaya rakan-rakan kita tidak terasa dengan setiap tingkah laku kita ketika itu. Bukankah bahasa yang kita gunakan menggambarkan budi bahasa kita? Jadi, renung-renungkanlah dan selamat beramal.

.::WASSALAM::.

Ahad, 6 Mac 2011

Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda lebih baik dari sebelumnya.


Pada tanggal 5 Mac 2011 iaitu pada hari Sabtu bertempat di Auditorium Utama (UPSI), telah diadakan satu diskusi khas yang membincangkan isu berkaitan dengan Tatabahasa Dewan dan diskusi tersebut diberi tajuk "Kelangsungan Tatabahasa Dewan Dahulu dan Kini". Diskusi tersebut telah bermula seawal jam 8.30 Pagi dan berakhir kira-kira jam 12.30 Tengah hari. Diskusi ini telah disampaikan oleh penulis Tatabahasa Dewan sendiri iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Selain daripada beliau, dua orang penceramah lain yang dijemput ialah Pn. Norliza Jamaluddin dan Encik Rusli b. Abd. Ghani. Pn. Norliza merupakan salah seorang tenaga pengajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sendiri. Manakala, En. Rusli Abd. Ghani merupakan Pengarah Penyelidikan Bahasa dan Kesusasteraan DBP. 

Diskusi yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) ini sebenarnya dilihat dapat memberikan gambaran kepada hadirin yang hadir tentang arah tuju Tatabahasa Dewan pada masa akan datang. Tatabahasa Dewan dilihat masih relevan untuk dijadikan rujukan bagi pengkaji bahasa. Segala-galanya dilihat terkandung lengkap dalam tatabahasa tersebut. Pelbagai persoalan juga ditimbulkan oleh hadirin ketika diskusi tersebut berlangsung. Semoga program sebegini terus dianjurkan pada masa akan datang supaya bahasa Melayu kekal terpelihara dan mendapat perhatian masyarakatnya.






.::WASSALAM::.

Khamis, 3 Mac 2011

Gaya Sebutan


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Kadang-kadang kita ini sememangnya mudah dipengaruhi bukan? Apabila kita mendengar perbualan rakan-rakan kita misalnya yang datang dari pelbagai negeri dan daerah, kita akan meniru loghat atau dialek yang digunakan. Misalnya,

Lawa - Lawo
Tampar - Tampo
Lapar - Lapo
Besar - Beso
Sabar - Sabo

Perkataan-perkataan di atas sebenarnya disebut dalam dialek daerah Muar. Namun, kebanyakan rakan-rakan saya yang sememangnya berasal dari Johor juga tidak kira daerah mana sekalipun menyebut perkataan-perkataan seperti di atas dengan menggantikan dua huruf terakhir yang biasanya terdiri daripada 'ar' dengan 'o'. Perkara yang ingin saya nyatakan di sini ialah komunikasi kita dengan seseorang individu jangan sesekali dibataskan kerana kita akan dapat memahami dan melihat kepelbagaian tutur percakapan seseorang yang berasal dari pelbagai daerah dan negeri.

.::WASSALAM::.

Selasa, 1 Mac 2011

Mengapa Manusia Ego?



Assalammualaikum w.b.t dan Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda akan lebih baik dari sebelumnya.


Ego? Ya, ego merupakan satu perasaan fitrah semula jadi yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada setiap manusia. Namun sebenarnya, perasaan ego kita ini boleh dikawal dengan menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Perasaan ego ini memungkinkan kita untuk bertindak melakukan sesuatu tanpa mempedulikan perasaan orang lain. 

Saya sebenarnya amat terkilan dengan sikap sesetengah orang yang mempunyai perasaan ego yang tinggi di mana apabila dia melakukan sesuatu kesalahan, sukar sekali untuk dia mengakui kesalahan tersebut dan mengucapkan sepatah kata yang berbunyi "Maaf". Bukan sesuatu yang susah untuk menuturkannya melainkan bagi mereka yang memiliki hati sekeras batu. Belajarlah untuk mengakui kesilapan diri kerana kita ini insan yang tidak sempurna. Renung-renungkanlah.

.::WASSALAM::.

Isnin, 28 Februari 2011

Berbahasa Sesama Insan


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua,moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Hari jumaat lepas iaitu pada 25 Februari 2011, saya mempunyai sedikit kelapangan dan kesempatan untuk pulang ke rumah di Johor memandangkan rakan baik saya yang berada di Rwang mengajak saya untuk turut sama pulang bersamanya dengan menaiki kereta. Rakan saya itu telah meminta saya ke Rawang terlebih dahulu dan dia akan mengambil saya di sana. Untuk ke Rawang, saya perlu menaiki komuter di KTM Tanjong Malim. memandangkan saya tidak biasa menaiki komuter, jadi perasaan saya agak gementar sedikit kerana khuatir akan tersalah komuterke Rawang nanti.  

Jadi, sebelum itu saya telah bertanya kepada rakan-rakan yang punya pengalaman tersebut bagi memudahkan saya nanti. Petang jumaat itu, saya pun ke KTM Tanjong Malim dan terus membeli tiket ke Serendah pula apabila rakan saya itu meminta saya turun di Serendah sahaja. Saya hanya mengikut. Ketika menunggu komuter tiba, saya terlihat ada seorang pelajar UPSI yang duduk berhampiran dengan saya. Saya mengambil kesempatan untuk bertanya kepadanya masa ketibaan komuter ke Rawang pada pukul berapa memandangkan saya tidak pasti ketika itu.

Pelajar tersebut dengan ramah dan baik hatinya menyatakan satu persatu perkara yang ingin saya ketahui. Dalam hati saya berkata, masih ada lagi insan yang tahu berbahasa lembut dan sopan serta baik budi pekertinya. Ada juga insan yang tahu berbahasa dengan baik.

.::WASSALAM::.  

Sabtu, 26 Februari 2011

Media Massa Gagal Memainkan Peranannya



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda lebih baik dari sebelumnya.


Semalam saya ada mendengar radio sambil membuat tugasan bagi menghilangkan sedikit rasa bosan. Seronok mendengar keletah penyampai radionya yang pada saya petah berkata-kata. Cuma satu perkara yang agak saya kesali apabila penyampai radio terbabit menggunakan bahasa yang bercampur antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Cuba lihat ayat yang beliau gunakan;

"Don't be khuatir la"

Bagaimana media massa yang sebenarnya mempunyai tanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu boleh melakukan kesalahan berbahasa tersebut? Jelas sekali berlakunya percampuran bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Penggunaan ayat tersebut dianggap tidak mempamerkan sikap kita sebagai warga yang prihatin dan sayang kepada bahasa Melayu.  

.::WASSALAM::.

Khamis, 24 Februari 2011

Cuba Try??



Assalammualaikum w.b.t dan Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda lebih baik dari sebelumnya.


Dewasa ini, kerap kali kita melihat bahasa Melayu seperti dipermain-mainkan apabila banyak perkataan dan ucapan kita yang tanpa kita sedar telah mencemarkan bahasa Melayu. Perhatikan sahaja gabungan perkataan di bawah yang saya pasti pernah diucapkan oleh kita semua;

"Cubalah try..."

Perkataan bahasa Inggeris iaitu "try" sudah membawa maksdu "cuba", jadi mengapa perlu digabungkan bersama perkataan "try" apabila menyebut perkataan "cuba"? Bukankah keadaan ini akan memudaratkan lagi penggunaan bahasa Melayu yang sudah sememangnya tercemar dengan bahasa-bahasa remaja yang pelbagai dan kononnya dilihat kreatif. Penggunaan bahasa yang begini seharusnya dikawal.

.::WASSALAM::.

Rabu, 23 Februari 2011

Bahasa Beradab



Assalammualaikum w.b.t dan Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda hari ini lebih baik dari sebelumnya.


Hari ini saya terpanggil untuk mencoretkan serba sedikit realiti kehidupan sebagai mahasiswa yang menetap di kolej kediaman yang sememangnya memerlukan kita untuk lebih bersikap tolak ansur dan menghormati antara satu sama lain. Maka, untuk menghormati antara satu sama lain, sudah pastilah ada adab-adab yang perlu dipatuhi supaya kepentingan hidup bersama dapat dinikmati mengikut aturannya.

Saya melihat adab yang perlu dilakukan oleh setiap daripada kita apabila mengunjungi rumah orang. Walaupun kita mengunjungi rumah sahabat baik kita sendiri, masih ada adab-adab yang perlu dipatuhi. Saya perhatikan keadaan ini boleh dikatakan setiap hari. Teman serumah saya sering dikunjungi oleh rakan-rakannya. Namun, adakalanya rakan kepada teman serumah ini saya anggap kurang memiliki adab sopan ketika mengunjungi rumah orang. Rakan kepada teman serumah saya ini hanya masuk ke rumah kami tanpa memberi salam dan hanya membuka pintu rumah kami sesuka hatinya. Adakalanya selepas masuk, pintu rumah tidak ditutup kembali. Saya kurang menyenangi sikapnya ini.

Pada saya tidak salah kiranya kita menunjukkan rasa hormat kita kepada penghuni rumah yang lain walaupun rumah tersebut dihuni oleh rakan baik kita sendiri dan rakan baik kita tidak pernah kisah dengan perkara tersebut kerana berkemungkinan kehadiran kita secara tiba-tiba tanpa mengetuk pintu dan memberi salam mengundang rasa kurang senang di hati penghuni rumah yang lain. Hanya melakukan perkara mudah iaitu mengetuk pintu dan memberikan ucapan salam "Assalammualaikum". Mudah bukan?

.::WASSALAM::.

Selasa, 22 Februari 2011

Jalankan Tanggungjawab Tanpa Alasan


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Proses Pilihan Raya Kampus telah pun berakhir apabila pemenang ataupun penyandang kerusi bagi barisan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru telah pun diumumkan serentak pada hari pengundian iaitu kira-kira selepas sejam setengah proses pengundian berakhir. Calon yang berjaya sudah pastilah gembira dengan prestasi masing-masing manakala calon yang kalah pula ada yang mengambil sikap redha dengan segala ketentuan namun, tidak kurang juga ada yang mengeluh. Maka, timbul pula cakap-cakap belakang apabila masing-masing menyuarakan ketidakpuasan hati masing-masing.

Apa-apa pun, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah buat yang berjaya. Harap mereka dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya kerana di situlah tergalasnya amanah yang sungguh besar dan amat berat sekali untuk dipikul. Hal ini demikian kerana, mereka yang berjaya ini perlulah mengotakan janji masing-masing untuk menjaga kebajikan mahasiswa-mahasiswa lain serta perlu jujur menaburkan bakti.  

Janganlah sesekali memberikan alasan yang dianggap kurang munasabah apabila tanggungjawab tersebut telah terpikul di bahu anda. Selepas pilihan raya tersebut tamat, saya ada mendengar keluhan rakan-rakan yang kurang senang dengan sikap salah seorang calon yang menang kerana calon tersebut telah memberikan alasan apabila ada dalam kalangan rakan-rakannya yang memberikan ucapan tahniah dan meminta supaya calon tersebut dapat menjalankan tanggungjawabnya sebaik-baiknya. Calon tersebut mengatakan, janganlah diletakkan harapan yang tinggi sangat kepadanya kerana dia mempunyai tanggungjawab lain lagi, ditambah pula dengan keadaannya yang akan berpraktikum tidak lama lagi. Pada saya, semua orang boleh mencipta beribu-ribu alasan, namun janganlah sesekali kita lupa bahawa kemenangan yang diperolehi hadir bersama tanggungjawab lain yang maha besar. Andai takut untuk memikul tanggungjawab dan amanah tersebut, mengapa perlu bertanding???

.::WASSALAM::.

Isnin, 21 Februari 2011

Bahasa Remaja yang Memeningkan



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.


Golongan remaja dewasa kini memang sangat maju pemikiran mereka. Anda setuju dengan saya? Saya katakan begitu kerana saya dapat lihat dan dengar sendiri mereka bertutur sesama rakan dengan menggunakan bahasa-bahasa yang saya sendiri sukar untuk tafsirkannya. Namun, apa yang peliknya, bahasa yang digunakan itu hanya difahami oleh mereka dan rakan-rakan mereka sahaja. Ini bermakna, ada bahasa khas yang digunakan oleh mereka untuk bertutur sesama sendiri. 

Misalnya;

"Sedapnya engkau bahan aku ye"


Pada mulanya saya tidak memahami apa sebenarnya yang cuba disampaikan melalui perkataan "bahan" yang digunakan pada ayat di atas. Namun, setelah saya mendengar perbualan mereka dengan teliti, rupa-rupanya perkataan "bahan" yang digunakan dalam ayat tersebut membawa makna "kutuk" bagi mereka. Sungguh pelbagai bahasa mereka ini, namun tanpa mereka sedari bahasa sebegini yang mereka gunakan mampu memberikan tafsiran negatif. Kebiasaan mereka itu perlulah diubah. 

.::WASSALAM::.

Sabtu, 19 Februari 2011

Kaedah Lain


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik daripada sebelumnya.

Bangun pagi ini saya terus menjalankan tugas dengan menyapu dan mengemas rumah memandangkan hari ini iaitu pada setiap hari sabtu merupakan giliran saya menjalankan tanggungjawab tersebut. Jadi, saya sememangnya telah mengunci jam untuk bangun awal pagi bagi melaksanakan tugas tersebut. Bagi saya, tugas tersebut bukanlah sesuatu yang sukar kerana saya hanya perlu menyapu dan mengemas kini susun atur meja dan kerusi sahaja sekiranya keadaan kerusi dan meja berselerakan. 

Namun, perkara yang membuatkan hati saya terkadang sedikit geram ialah apabila kebanyakan penghuni rumah yang lain gagal menjalankan tugas untuk membersihkan rumah sebaik-baiknya. Malah, ada yang langsung tidak menjalankan tanggungjawab tersebut. Sampah dibiarkan penuh di dalam bakul sampah dan keadaan rumah pula bersepah. Mata siapa yang tidak sakit apabila melihat keadaan tersebut? Saya kurang gemar suasana yang bersepah dan nampak berselerak. Oleh sebab itu, saya telah mengambil satu langkah penyelesaian supaya mereka yang gagal menjalankan tugas membersihkan rumah dapat melaksanakannya. Apa yang saya lakukan???



Memang berkesan~

Saya telah menampal satu notis seperti pada gambar di atas (A4 putih) bersebelahan dengan jadual bertugas supaya mereka sedar tentang tanggungjawab masing-masing. Saya tidak mahu menegur mereka melalui percakapan kerana bimbang tanggapan mereka terhadap saya nanti. Jadi, saya telah mengambil langkah lain untuk mengatasinya iaitu dengan menampal notis seperti di atas tanpa pengetahuan mereka yang saya sendiri telah menampal notis tersebut. Kesannya, saya dapat lihat ada ahli rumah yang telah mula melaksanakan tanggungjawab masing-masing. 

.::WASSALAM::.

Jumaat, 18 Februari 2011

Bahasa Rojak


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda akan lebih baik dari sebelumnya.

Saya rasa semua orang faham dengan maksud bahasa rojak iaitu bahasa yang melibatkan percampuran pelbagai bahasa dalam sesuatu pertuturan yang diucapkan. Mungkin bahasa pertuturan tersebut dicampuradukkan antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dan sebagainya. Namun, bahasa dasarnya masih lagi bahasa Melayu.

Semalam, saya ada terdengar perbualan antara dua orang pelajar semasa di dalam bas untuk pulang ke kolej kediaman. Mereka menggunakan bahasa pertuturan yang sangat ketara penggunaan bahasa rojaknya. Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dicampuradukkan sewenang-wenangnya. Antara perbualan mereka yang dapat didengari oleh saya berbunyi begini;

Walaupun price (harga) makanan kat kedai makan tu mahal, at least (sekurang-kurangnya) makanan dia best (sedap/bagus)...

Ketara bukan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang digunakan? Penggunaan bahasa rojak ini seandainya dituturkan secara berterusan, maka tidak mustahil andai kata suatu masa nanti bahasa Melayu akan tercemar dan seterusnya pupus ditelan arus zaman. Sebolehnya, elakkan menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan seharian kita kerana jika sering diguna pakai, ia akan menghadirkan suatu kebiasaan dan akan sukar dihakis nanti.

.::WASSALAM::.

Khamis, 17 Februari 2011

Janji Perlu Dikotakan


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik daripada sebelumnya.

Sekarang ini, hampir di setiap universiti sedang sibuk dengan pemilihan calon MPP bagi universiti masing-masing. Hari ini juga telah bermula proses penamaan calon-calon yang bakal bertanding pada hari pengundian yang jatuh pada 21 Februari 2011 iaitu hari Isnin nanri. 

Sebenarnya, sebentar tadi saya telah berpeluang mendengar manifesto yang telah dilontarkan oleh bakal-bakal barisan kepimpinan MPP yang baru ini. Pelbagai hujah yang dikeluarkan bagi mendesak para pelajar UPSI menyokong mereka. Rapat umum yang pertama telah diadakan di sekitar kolej kediaman dan saya berpeluang melihat rapat umum tersebut melalui rumah sahaja memandangkan rapat umum tersebut diadakan betul-betul berhadapan dengan rumah saya. Jadi, saya hanya melihat dari atas sahaja. 

Lantang dan jelas sekali suara-suara mereka. Pelbagai manifesto yang dijanjikan oleh mereka ini. Ada yang ingin mendesak supaya proses pembinaan dan pembukaan kampus kedua UPSI dipercepatkan. Ada yang mahu memperjuangkan hak-hak pelajar seperti mempercepatkan proses pengeluaran wang pinjaman PTPTN apabila tiba waktunya dan ingin berjumpa sendiri dengan kementerian untuk membincangkan masalah penempatan bakal guru keluaran UPSI nanti. 

Macam-macam bukan? Pada saya, semua pelajar yang bakal mengundi pada hari Isnin nanti pandai menilai yang mana merupakan janji yang bakal ditepati dan mana pula merupakan omongan kosong ataupun "auta" sahaja. Saya cuma mengharapkan janji yang telah dikatakan mampu dikotakan apabila mereka telah berjaya memegang tampuk kepimpinan yang baru kelak. Segala yang diperkatakan perlulah dilaksanakan. 



Mereka semua mengharapkan bakal ada perubahan yang benar-benar mampu mengubah nasib mahasiswa kelak..
**Antara para pelajar yang menyaksikan rapat umum yang diadakan**

.::WASSALAM::.

Selasa, 15 Februari 2011

Maulidur Rasul, bukan Maal Hijrah



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda hari ini lebih baik dari sebelumnya.


Hari ini merupakan Hari Keputeraan Rasulullah s.a.w. dan ia jatuh pada setiap 12 Rabiulawwal mengikut kalendar Hijrah. Jadi, hari ini merupakan cuti umum dan tidak ada kuliah yang dijalankan. Saya bangun pagi ini dengan senang hati, tanpa berat mata sebab cukup tidur. ^__^

Bangun saja daripada tidur terus saya buka komputer riba saya dan buka internet untuk cek e-mail dan "on-line" Facebook. Apabila saya membuka Facebook, saya lihat ramai rakan-rakan yang menulis pada status masing-masing berkenaan Maulidur Rasul ini. Ada yang mengucapkan selawat terhadap Baginda dan ada juga yang mengharapkan dapat berjumpa dengan Kekasih Allah yang satu ini. Namun, dalam pada saya leka memerhati status-status yang ditulis oleh rakan saya pada laman Facebook tersebut, saya tiba-tiba tertarik dengan dua status berkenaan Maulidur Rasul yang ditulis oleh rakan saya;






Maal Hijrah??

Berfikir seketika saya apabila melihat status tersebut. Oh, mungkin mereka terlupa ataupun terlalu suka barangkali dan dengan pantas menaip status tersebut tanpa menyedari bahawa telah berlaku kesilapan. Selepas sahaja status tersebut ditulis, saya lihat ramai rakan-rakan yang peka dan membetulkan kembali kesalahan mereka. Ternyata mereka mampu menerima teguran rakan-rakan. 

.::WASSALAM::.

Isnin, 14 Februari 2011

Peka dengan Perasaan Orang Lain


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Petang tadi ketika pulang dari kuliah saya sangat letih, maka kaki terus melangkah menuju ke lif. Keletihan menyebabkan saya terasa agak malas untuk naik ke rumah menaiki tangga walaupun ketinggian rumah saya tidaklah terlalu tinggi iaitu hanya di aras tiga. 

Saya tidak keseorangna di dalam lif tersebut memandangkan ada pelajar lain yang mahu menggunakan lif juga. Agak ramai yang menggunakan lif pada petang itu. Jadi, saya yang berada berhampiran dengan butang yang terdapat pada lif tersebut diminta oleh beberapa pelajar untuk membantu menekan butang bagi menuju ke aras masing-masing. Namun, agak terkilan hati saya apabila ada pelajar yang meminta pertolongan dengan suara yang agak sombong pada pendengaran telinga saya ini. Mereka meminta tolong dengan meluahkan ayat sebegini "tingkat 5 ye". Dalam hati saya berkata "Eh, dia ni nak minta tolong atau nak memberi arahan". Namun, saya hanya menurut sahaja kehendak mereka dengan niat menolong walaupun mereka meminta dengan suara dan lagak yang sedikit sombong.

Pada saya, mereka perlu peka dengan perasaan orang lain apabila mahu meminta pertolongan. Bukankah lebih manis jika pertolongan yang diminta berbunyi begini "minta tolong tekankan aras 5, terima kasih". Pertolongan itu perlulah diikuti dengan ucapan terima kasih juga supaya orang yang mendengarnya berasa senang hati untuk membantu.

.::WASSALAM::.

Ahad, 13 Februari 2011

Puitisnya Bahasa Dalam Puisi



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik daripada sebelumnya.


~Dia Segalanya~

Sentiasa di sisiku
Peneman setia pengubat jiwa
Perit jerihku hanya dia mengerti
Tanpa perlu diungkap
Tanpa perlu disingkap
Kuasa belaiannya mampu merungkai
Segala keperitan

Selalu di benakku
Raut tua penuh keikhlasan
Setia memberi
Setia menemani
Setia berbakti
Hanya satu harapan dan doanya
Untuk melihat insan-insan di sisinya bahagia

Dialah ibuku
Dialah segalanya
Saat ini ku terkenangkan dirimu
Aku jauh mengejar cita
Buat melakar senyum ceria di wajahmu kelak
Ku harap redha mu sentiasa mengiringi langkahku ibu...

Rangkap-rangkap diatas merupakan sajak yang dihasilkan oleh saya sendiri saat saya terkenangkan wajah ibu saya itu. Terlalu rindu apabila wajah tersebut jarang-jarang dapat saya lihat memandangkan tanggungjawab sebagai seorang pelajar memerlukan saya berjauhan daripada ahli keluarga. Sajak ini merupakan luahan hati saya buat ibu saya yang sangat saya sayang dan kasih. Kita bukan sahaja boleh meluahkan perasaan kita dengan kata-kata atau bahasa biasa sahaja, malah melalui puisi seperti sajak ini kita juga dapat memberitahu perasaan kita tersebut kepada seseorang. 

.::WASSALAM::. 

Sabtu, 12 Februari 2011

Kemungkinan Hanya Salah Faham



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua,  moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.


Hari ini pensyarah subjek Drama dan Amali Seni Lakon saya telah menjemput para pelajarnya menghadiri majlis pernikahan putera bongsunya. Jadi beberapa orang pelajar termasuklah saya telah menyatakan persetujuan untuk menghadirkan diri memandangkan kami semua telah diberitahu bahawa bas UPSI yang akan membawa kami ke sana telah diluluskan. Pagi hari lagi kami sudah terpacak di kampus (di hadapan Auditorium) untuk menunggu bas yang akan membawa kami semua ke sana.

Kami telah sampai di kampus pada pukul 9.30 pagi dan bas dijangka akan tiba pada pukul 10.00 pagi. Namun, ketika jam menunjukkan pukul 10.00 pagi, bas masih juga belum tiba dan ia berlanjutan sehingga pukul 10.30 pagi. Jadi, dua orang rakan saya telah mengambil keputusan untuk pergi ke bahagian kenderaan bagi mendapatkan kepastian berkenaan bas yang telah dijanjikan. Agak kecewa kami semua apabila diberitahu bahawa bas yang kami inginkan tidak dapat disediakan disebabkan salah faham tertentu antara pihak yang mengendalikan bas dengan pihak pengurusan bas. Tertanya-tanya juga saya, mengapa sehingga boleh jadi begini?

Ada kemungkinan ketika proses menguruskan bas, telah berlaku salah faham antara kedua-dua pihak ini. Mungkin komunikasi antara mereka kurang dan seterusnya berhadapan dengan kekeliruan. Moralnya, untuk masa-masa yang akan datang diharap masalah sebegini tidak lagi berulang kerana bayangkan jika perkara tersebut berlaku untuk sesuatu program yang penting bagaimana? Komunikasi yang jelas diperlukan supaya tidak timbul sebarang masalah dikemudian hari. 

.::WASSALAM::.

Khamis, 10 Februari 2011

Segalanya di "Facebook"


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Arus globalisasi telah membawa bersamanya kemajuan dalam bidang teknologi maklumat. Kita dapat lihat pelbagai medium perantaraan dalam bidang ini semakin berkembang seperti penggunaan jalur lebar dan medium perantaraan komunikasi yang lain seperti "Facebook"

Perkara yang ingin saya tegur ialah saya lihat medan "Facebook" ini sepertinya sudah menjadi tempat meluahkan perasaan bagi seseorang daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sesuatu yang lebih besar. Semuanya ingin diceritakan dan diluahkan termasuklah jikalau seseorang itu tidak puas hati terhadap orang lain. Kita dapat lihat beberapa contoh di bawah tentang perkara yang saya maksudkan sebentar tadi;

~Versi marah secara berhemah~


~Versi mengada-ngada~


~Versi luahan hati yang tertekan~


~Versi tekanan perasaan~


~Versi luahan cinta~


~Versi bahasa yang gagal difahami~


~Versi marah~


Segala-galanya mahu diluahkan di "Facebook" bukan? Bukan tidak boleh meluahkan sesuatu yang kita rasa di medan "Facebook" tersebut, tetapi biarlah berpada-pada dan memadailah sesuatu yang dikongsi itu tidak menimbulkan rasa meluat di hati orang lain. Mungkin kita boleh berkongsi rasa bahagia dan kegembiraan kitadan sesuatu yang dapat dipelajari serta dihayati secara bersama untuk kebaikan orang lain juga. Bukan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah kepada diri sendiri dan orang sekeliling juga.

.::WASSALAM::.

Rabu, 9 Februari 2011

Ragam Manusia yang Pelbagai



Assalammualaikum & Salam 1 Malaysia...


Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.


Kehidupan kita sememangnya penuh dengan warna-warninya bukan? Muka bumi Tuhan ini penuh dengan kepelbagaian ragam manusia. Ada yang suka ketawa, ada yang mudah tersinggung walaupun niat kita hanya untuk bergurau, ada yang suka marah-marah dan ada juga yang sentiasa tenang walaupun diuji dengan pelbagai cabaran. Karekter manusia sememangnya pelbagai. 

Jadi, saya tidak nafikan andai ada antara rakan-rakan saya yang memiliki kepelbagaian sifat tersebut. Inilah yang dikatakan sebagai warna-warni dunia. Ada antara rakan saya yang mudah tersenyum dan ketawa apabila sesuatu kata-kata yang diucapkan itu dirasakan lucu pada pendengarannya dan tidak kurang juga yang mudah merasa tersinggung walaupun ucapan tersebut hanyalah sekadar gurauan semata-mata.  

Hakikatnya, ragam manusia ini pelbagai dan tidak semua orang dapat menerima gurauan kita. Jadi, sebelum sesuatu perkataan itu dilontarkan, kita perlulah berfikir terlebih dahulu supaya tiada insan yang akan terasa dengan setiap patah perkataan yang akan kita ungkapkan.

.::WASSALAM::.

Isnin, 7 Februari 2011

Pencemaran Bahasa Pada Papan Tanda

Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua,  moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Hari ini, saya ingin bercakap berkenaan dengan pencemaran bahasa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Permasalahan ini saya lihat semakin menjadi-jadi dan kita sendiri dapat lihat masalah ini berlaku di mana-mana sahaja dan paling ketara kita dapat lihat pada papan tanda yang digunakan di kedai-kedai ataupun premis yang menjual pelbagai barangan. Sebagai contohnya pada papan tanda di bawah ini ;




Jelas sekali terdapat beberapa kesalahan bahasa yang dilakukan pada "banner" di atas. Penyalahgunaan hukum tatabahasa telah dilakukan pada iklan "banner" tersebut. Antara kesalahan tatabahasa yang dilakukan ialah pada perkataan "disini". Perkataan tersebut sepatutnya dijarakkan menjadi "di sini". Kesalahan susunan ayat juga berlaku pada ayat "Elakkan dari kenderaan anda disita". Ayat tersebut seharusnya berbunyi begini "Elakkan kenderaan anda daripada disita". 

Juateru, diharapkan masyarakat Malaysia terutamanya pihak yang berwajib lebih peka terhadap permasalahan ini kerana jika terus dibiarkan, tidak mustahil andainya suatu hari nanti bahasa Melayu akan lupus dan tidak lagi digunakan. Pihak yang bertanggungjawab misalnya Majlis Daerah seharusnya mengambil tindakan yang wajar dan keras dengan mengarahkan penurunan "banner" yang tidak menepati hukum tatabahasa secara tepat. 

.::WASSALAM::.