Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...
Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.
Hari ini pensyarah subjek Drama dan Amali Seni Lakon saya telah menjemput para pelajarnya menghadiri majlis pernikahan putera bongsunya. Jadi beberapa orang pelajar termasuklah saya telah menyatakan persetujuan untuk menghadirkan diri memandangkan kami semua telah diberitahu bahawa bas UPSI yang akan membawa kami ke sana telah diluluskan. Pagi hari lagi kami sudah terpacak di kampus (di hadapan Auditorium) untuk menunggu bas yang akan membawa kami semua ke sana.
Kami telah sampai di kampus pada pukul 9.30 pagi dan bas dijangka akan tiba pada pukul 10.00 pagi. Namun, ketika jam menunjukkan pukul 10.00 pagi, bas masih juga belum tiba dan ia berlanjutan sehingga pukul 10.30 pagi. Jadi, dua orang rakan saya telah mengambil keputusan untuk pergi ke bahagian kenderaan bagi mendapatkan kepastian berkenaan bas yang telah dijanjikan. Agak kecewa kami semua apabila diberitahu bahawa bas yang kami inginkan tidak dapat disediakan disebabkan salah faham tertentu antara pihak yang mengendalikan bas dengan pihak pengurusan bas. Tertanya-tanya juga saya, mengapa sehingga boleh jadi begini?
Ada kemungkinan ketika proses menguruskan bas, telah berlaku salah faham antara kedua-dua pihak ini. Mungkin komunikasi antara mereka kurang dan seterusnya berhadapan dengan kekeliruan. Moralnya, untuk masa-masa yang akan datang diharap masalah sebegini tidak lagi berulang kerana bayangkan jika perkara tersebut berlaku untuk sesuatu program yang penting bagaimana? Komunikasi yang jelas diperlukan supaya tidak timbul sebarang masalah dikemudian hari.
.::WASSALAM::.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan