Daisypath Vacation tickers

Khamis, 27 Januari 2011

Jangan Sampai Mengguris Hati Orang Lain


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua,  moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Adakalanya, kita bercakap  tanpa pernah memikirkan perasaan orang lainkan? Mungkin perkara tersebut berlaku di luar sedar. Namun, kita perlu tahu dan mengambil iktibar supaya ianya tidak berulang untuk kesekian kalinya walaupun niat kita hanyalah sekadar gurauan. 

Mungkin anda pernah mendengar ucapan atau kata-kata sebegini yang dikeluarkan oleh rakan-rakan anda :

**Opss, maaf. Sengaja**

Pada pandangan anda, ikhlas atau tidak ucapan maaf yang dilontarkan tersebut? Sudahlah kita membuat kesalahan terhadap seseorang itu, tambah pula kita meminta maaf dengan cara sebegini. Tidak elok bukan walaupun sekadar dengan niat untuk bergurau? Kita mungkin tidak tahu perasaan individu tersebut sama ada terguris ataupun tidak apabila mendengar patah perkataan di atas diucapkan. Mengapa tidak meminta maaf dengan ucapan yang benar-benar ikhlas? 


.::WASSALAM::.

Rabu, 26 Januari 2011

Tegur Secara Berhemah



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...


Buat semua,  moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.


Pernah atau tidak ada orang yang menegur anda dengan cara yang kasar dan boleh dianggap menghiris perasaan anda? Saya kira semua orang pernah merasainya bukan? Saya juga begitu. Ada seorang rakan yang menegur saya dengan kata-kata yang tidak manis dan dalam nada suara yang garang. Bukankah bahasa kita kaya dengan frasa-frasa yang indah lagi sopan? Mengapa tidak diaplikasikan?

Situasi :


Si A : Engkau ingat elok sangat ke engkau buat macam tu? Dah macam orang GILA tahu..


Saya : Orang GILA??? Tak kisah la..


Sangat cantik bukan bahasa yang digunakan? Terharu saya yang menerimanya. Teguran kita terhadap orang biarlah secara berhemah, jangan suka ikut sedap mulut sahaja menegur tanpa memikirkan perasaan orang lain. Kalau anda, apakah perasaan anda kalau mendapat teguran sedemikian? Fikir-fikirkanlah dan jangan sesekali melukakan perasaan orang lain.

.::WASSALAM::.    

Isnin, 24 Januari 2011

Diskusi Novel INTERLOK


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Tanggal 24 Januari 2011 iaitu pada hari Isnin bertempat di Bilik Serbaguna 2, Perpustakaan Tuanku Bainun telah diadakan satu diskusi. Diskusi yang dijalankan berkisar kepada Diskusi Buku Interlok : Daripada Pelbagai Perspektif. Diskusi tersebut merupakan anjuran Perpustakaan Tuanku Bainun dan Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) dan ia dikendalikan oleh moderator Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan. Tiga orang pendiskusi telah dijemput untuk membincangkan novel Interlok karya Abdullah Hussin ini iaitu Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohd. Yusof Hassan, Mana Sikana dan juga A. Halim Ali.  

Diskusi novel Interlok dilakukan disebabkan novel tersebut telah mendapat perhatian masyarakat kerana kontroversi berkenaan isu perkauman yang hangat diperkatakan dalam novel terbabit. Novel Interlok sebenarnya berkisar kepada corak hidup masyarakat Malaysia suatu ketika dahulu yang melibatkan integrasi kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Novel ini terbahagi kepada empat buah bab iaitu Keluarga Seman, Keluarga Cing Huat, Keluarga Maniam dan Interlok. Ramai pelajar  UPSI yang menghadiri diskusi ini terutamanya pelajar India. Kemungkinan mereka ingin mengetahui sendiri isu yang hangat diperkatakan hari ini berkaitan golongan yang disebut dalam novel tersebut iaitu "Paria". 

Ketika sesi soalan dibuka juga, saya dapat lihat ramai kaum India yang bertanyakan soalan dan mereka sememangnya tidak setuju dengan kasta yang disebut di dalam novel tersebut. Ada yang mengeluarkan pendapat seandainya novel tersebut ingin juga diteruskan dalam pengajaran di sekolah, istilah "Paria" tersebut perlulah melalui proses permurnian terlebih dahulu. Pada saya, semua pendapat yang diberikan haruslah didengar dan dikaji terlebih dahulu. 




.::WASSALAM::.

Ahad, 23 Januari 2011

Adegan Rebut Merebut



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua,  moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.  


~Biarkan gambar itu berbicara~

 




Sudah lihatkan situasi dalam gambar di atas? Beginilah keadaannya apabila ingin pulang ke kolej kediaman. Bas yang tidak banyak tidak mampu menampung pelajar yang sememangnya menginginkan perkhidmatan bas yang lancar dan berkesan. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pastilah akan ada adegan rebut merebut ketika menaiki bas. Semua orang ingin menuju ke destinasinya dengan cepat dan pantas. Maka, jalan yang ada hanyalah berebut.

Ketika berebut, macam-macam ayat yang akan keluar dari mulut masing-masing sebab tidak sabar. Tolak-menolak juga berlaku. Keadaan memang kecoh dan bising sangat. Kadang-kadang terasa seronok pula memerhatikan gelagat mereka ini. 

.::WASSALAM::.

Jumaat, 21 Januari 2011

Seminar Isu-isu Sosiolinguistik


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Pada 21 Januari 2011 iaitu hari Jumaat, satu seminar bertempat di Dewan Seri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah diadakan. Seminar ini membincangkan Isu-isu Sosiolinguistik-Bahasa Melayu Semasa. Seminar ini telah diadakan seawal jam 8.30 pagi sehingga 11.30 pagi dan seminar ini merupakan anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikkan Sultan Idris.

Seminar ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan di mana beliau merupakan Pemegang Kursi Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU). Beliau telah membincangkan 14 Topik berkenaan isu-isu sosiolinguistik. Antara perkara yang disentuh oleh beliau ialah berkenaan dengan penggunaan bahasa SMS atau bahasa yang digunakan dalam khidmat pesanan ringkas. Beliau melahirkan rasa terkilannya apabila melihat penggunaan bahasa SMS yang adakalanya gagal difahami oleh individu yang membacanya. Misalnya, 

apew    --------  apa
owg      --------  orang
cape     --------  siapa
ko        --------  kau
diorg    --------  mereka

Seandainya penggunaan bahasa SMS ini terus menerus digunakan, dikhuatiri penggunaan Bahasa Melayu akan tercemar dan mengalami kerosakan yang rumit. 

Berikut merupakan antara topik-topik yang dibincangkan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Awang Sariyan ketika saya mengikuti seminar beliau,

  • Topik 1 : Sosiolinguistik
  • Topik 2 : Evolusi Bahasa Masyarakat
  • Topik 3 : Bahasa, Akal dan Pemikiran
  • Topik 4 : Kesinambungan dan Perubahan Bahasa
  • Topik 5 : Hubungan Sistem Sosial dan Bahasa
  • Topik 6 : Variasi Bahasa dan Laras Bahasa
  • Topik 7 : Kedwibahasaan dan Keanekabahasaan
  • Topik 8 : Peralihan Kod dan Percampuran Kod

Diharapkan pada masa akan datang akan diadakan lagi seminar sebegini kerana seminar ini dapat membuka mata semua pihak terutamanya golongan remaja berkenaan dengan pentingnya memelihara Bahasa Melayu daripada terus tercemar. Para jemputan pula mungkin boleh terdiri daripada pelajar sekolah dan semua penuntut IPT seluruh negara. 

.::WASSALAM::.

Khamis, 20 Januari 2011

Tidak Perlu Terjerit-jerit


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Hidup bermasyarakat sememangnya penuh dengan warna-warni kehidupan yang tidak terduga. Pelbagai karenah dan gelagat manusia yang dapat kita perhatikan. Hakikatnya, kehidupan bermasyarakat memerlukan kita saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Kita perlu saling memikirkan hak bersama. Namun, hakikatnya dunia kini telah mengalami proses keterbalikan. Tiada lagi hak-hak hidup manusia secara bersama dihormati dan dikongsi.

Mengapa saya berkata begitu? Saya memperkatakannya berdasarkan pengalaman sendiri. Saya tinggal di kolej kediaman dan setiap malam saya dapat mendengar suara-suara penghuni kolej yang melaungkan nama rakan masing-masing menggunakan intonasi suara yang sangat tinggi dan lantang. Tidakkah mereka terfikir bahawa sikap mereka tersebut mengganggu ketenteraman penghuni kolej lain yang mungkin sedang tertekan menyiapkan tugasan masing-masing? Ada yang hanya menggunakan "Hoi", "Woi" serta pelbagai lagi dan itu belum termasuk dengan suara ketawa mereka yang kuat. Mereka seolah-olah langsung tidak memikirkan soal penerimaan penghuni lain yang sama sekali akan rasa kurang selesa dengan keadaan itu. 

Nasihat saya, sebagai sebuah komuniti masyarakat kita seharusnya mempunyai sikap saling menghormati dan menjaga hak-hak bersama. Kita boleh bersuka dan bergembira tapi perlulah diingat had dan sempadannya, janganlah sampai mengganggu ketenangan hidup orang lain. Hiduplah sebaik-baiknya.

.::WASSALAM::.

Selasa, 18 Januari 2011

Perlunya Penjelasan yang Pasti


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Harapan saya, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Perkara yang ingin saya kongsikan di sini ialah berkenaan dengan gelagat manusia. Fikiran dan hati terkadang letih memerhati gelagat manusia hari ini. Pelbagai ragam. Bermula dengan yang berpangkat sehinggalah orang biasa yang tidak punya apa-apa. Terlalu rencam untuk difahami dan dimengerti. Saya dapat merasakan bahawa kebanyakan manusia hari ini hanya hidup dalam dunia ciptaannya sendiri. Hanya tahu berkata itu dan ini tetapi pengisian dan tindakan belum tentu ada. Dunia semata-mata. 

Terkini, pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhadapan dengan masalah kewangan yang agak teruk juga kerana sudah hampir sebulan (hampir memasuki minggu keempat) kuliah dijalankan, namun wang tersebut masih belum lagi diterima atau dikreditkan ke dalam akaun pelajar. Saya sendiri kurang mengetahui punca utama kelewatan wang tersebut dikreditkan ke dalam akaun pelajar kerana akhir-akhir ini telah timbul pelbagai versi berkenaan kelewatan tersebut. Ada yang mengatakan bahawa kelewatan tersebut berpunca daripada pihak pentadbiran (karenah birokrasi) dan tidak kurang juga yang menuding jari kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang tidak memainkan peranan dalam menjaga kebajikan para pelajar.

Namun, tiada surat hitam putih yang diterima daripada pihak pentadbiran berkenaan tarikh sebenar wang pinjaman tersebut akan dikreditkan. Pelbagai versi timbul lagi. Pada pandangan saya, pihak pentadbiran UPSI seharusnya dapat mengeluarkan satu memo atau surat pemberitahuan tarikh sebenar pengeluaran wang pinjaman tersebut supaya para pelajar tidak berterusan mendesak dan bertanya sehingga keadaan ini mungkin akan merimaskan mereka sendiri. Jadi, perlunya surat hitam dan putih untuk menentukan kesahihan tarikh tersebut dan bukan hanya mengambil sikap berdiam diri kerana menganggap sikap tersebut dapat menyelesaikan masalah. Namun, khabar terbaru yang saya terima, pihak bendahari UPSI telah memasukkan sejumlah wang pendahuluan terlebih dahulu ke dalam akaun para pelajar sementara menanti wang pinjaman dikreditkan. Jadi, nasihat saya di sini, perlu ada penjelasan yang pasti bagi mengelakkan timbulnya sebarang andaian dan tanggapan daripada mana-mana pihak.

.::WASSALAM::.

Ahad, 16 Januari 2011

Tinggi Sungguh Bahasa


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Seiring dengan kemajuan teknologi, pelbagai medium perhubungan dapat kita lihat hari ini. Pelajar-pelajar zaman sekarang semuanya sudah maju. Bijak menggunakan semua medium perhubungan ini terutamanya Facebook. Sememangnya sudah menjadi satu fenomena hebat penggunaan Facebook dalam kalangan masyarakat sekarang tanpa mengira peringkat umur termasuklah pelajar sekolah rendah. 



Tapi kadang-kadang susah juga untuk saya memahami ayat-ayat yang mereka gunakan ketika menaip komen atau post di laman sesawang tersebut. Mungkin sebab ayat dan bahasa yang mereka gunakan itu tinggi sangat ataupun sememangnya saya ini yang ketinggalan zaman apabila gagal untuk mengambil tahu perkara tersebut. Mungkin pada mereka perkara tersebut telah menjadi satu kebiasaan. Mereka seboleh mungkin mahu menaip komen atau post menggunakan ayat yang cukup ringkas tapi tanpa mereka sedar ayat yang mereka gunakan tersebut tidak mudah untuk difahami oleh semua individu yang membacanya. termasuklah saya yang sememangnya agak kolot

Ini antara contoh ayat daripada bahasa yang cukup 'tinggi',

ary nie xkje...rce ny bowink lak...xtaw nk wt ap...
asik mkn tdow jeqk...bdn pown naek gmok...haha...

urmm..xdeqk aktiviti laen eak..
ary2 on9...
bowink ar...xtaw nk wt ap..urmmm...
*kepada yang berkenaan, minta copy ya kata-kata anda..=)

Senang atau tidak anda hendak menyebut dan membaca ayat-ayat yang ditulis di atas? Kalau saya yang membacanya memang sedikit sukar jugalah, naik terbelit lidah (jika dibaca kuat-kuat & mengikut ejaan ayat tersebut dengan betul). Bukan tidak boleh meringkaskan perkataan kerana saya sendiri pun sememangnya suka menggunakan perkataan yang ringkas ini tapi biarlah perkataan yang kita cuba ringkaskan itu dapat dibaca oleh orang lain juga dan sampai kepada maksudnya, bukan menggunakan ejaan yang mengelirukan dan menyukarkan pembaca. Silap hari bulan, boleh jadi syok sendiri nanti. =))

.::WASSALAM::.

Jumaat, 14 Januari 2011

Bermulanya Sesi Pembentangan


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Seperti biasa, buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Baiklah, sebagai seorang pelajar sudah pastilah kita tidak dapat lari daripada dibebani dengan pelbagai tugasan dan komitmen. Belum lagi ditambah dengan program-program luar yang perlu kita semua sertai dan semua ini amat memerlukan tanggungjawan yang besar. Kita perlu pandai membahagikan masa supaya kerja yang kita lakukan siap mengikut masanya.

Sekarang dah masuk minggu kedua jadinya memang teramat banyak tugasan yang menanti. Sesi pembentangan bagi subjek-subjek tertentu juga telah berjalan pada minggu ini. Kiranya minggu kedua ni dah menjadi minggu yang haru-birulah bagi setiap pelajar. Tidak terkecuali saya juga. (^^,)

Apa yang ingin saya coretkan di sini ialah situasi ataupun gelagat pelajar yang dapat saya perhatikan sepanjang mereka melakukan sesi pembentangan bagi subjek Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu. Para pelajar yang membuat pembentangan pada hari tersebut (12 Januari 2011) terdiri daripada mereka yang berasal dari pelbagai buah negeri termasuklah negeri di sebelah Pantai Timur iaitu Kelantan.  

Ketika sesi pembentangan berlangsung, dapat saya perhatikan masih ada lagi pelajar yang terikut-ikut dengan loghat negeri masing-masing. Mereka masih lagi tidak mampu 'menghilangkan' loghat kenegerian mereka sekurang-kurangnya ketika sesi pembentangan berlangsung. Situasi ini adakalanya menimbulkan kelucuan di hati saya. yang sememangnya suka ketawa..hihihi

Seharusnya untuk masa-masa yang akan datang, saya berharap mereka dapat cuba memperbaiki 'slang' yang digunakan ketika mereka melakukan pembentangan. Gunakan bahasa standard dengan sebaik-baiknya.


Elakkan pembentangan yang panjang dan membosankan..peringatan buat diri juga..(^^,)

.::WASSALAM::.

Khamis, 13 Januari 2011

Komunikasi Jelas


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua,  moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.  

Pernah atau tidak anda mengalami masalah ketidakfahaman terhadap kata-kata yang dilontarkan oleh seseorang terhadap anda? Atau dalam erti kata yang lainnya, anda keliru dengan butir perkataan yang diucapkan. Sebagai seorang mahasiswa, sudah semestinya hidup kita dikelilingi dengan pelbagai macam ragam rakan-rakan bukan? Saya sendiri mempunyai rakan-rakan daripada pelbagai negeri misalnya Perak, Kelantan, Kedah dan lain-lain lagi.

Kalau berkomunikasi, memang macam-macam loghat atau dialek yang akan keluar. Tapi, kadang-kadang susah juga kalau menggunakan loghat negeri masing-masing yang gagal difahami oleh orang lain. Tidak semua orang faham dengan patah perkataan tersebut, ditambah pula jika kita bercakap dengan laju. Memang akan mengambil masa untuk seseorang itu memahaminya. Misalnya loghat negeri Kedah yang saya dengar daripada perbualan rakan saya sendiri.

SITUASI :

Si A : Hang ni, baloq liat sungguh la!

Si B : Baloq liat? Apa dia tu??

Si A : Malas la..

Si B : Alah, kita pergi hari lain je la..

Si A : Hang saja la tu nak kelepiaq..

*baloq = malas
*kelepiaq = elakkan diri daripada membuat sesuatu kerja

Sukar betul untuk memahami butir pertuturan mereka bukan? Kadang-kadang, kita ini apabila berkomunikasi seharusnya melihat keadaan sekeliling dan pengetahuan individu yang diajak berbual terlebih dahulu. Macam situasi di atas, tidak semua orang dapat memahami loghat negeri Kedah yang anda tuturkan. Nasihat saya, janganlah sampai komunikasi anda tidak difahami oleh orang lain.

.::WASSALAM::. 

Selasa, 11 Januari 2011

Kelas Drama & Amali Seni Lakon


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah situasi yang berlaku di bilik kuliah untuk subjek Drama dan Amali Seni Lakon. Kelas ini memang menyeronokkan. Teringat saya pada minggu pertama kelas ini berlangsung iaitu pada 03 Januari 2011 (juga merupakan subjek pemula pada semester ini), saya dan rakan-rakan agak takut untuk masuk ke kelas ini apabila mengenangkan pengalaman rakan terdahulu yang telah mengambil subjek ini kerana pada ketika itu mereka terpaksa melakukan tugasan melakonkan monolog seorang demi seorang dan pensyarah yang mengajar mereka juga boleh dikatakan agak tegas dan sangat mementingkan kesempurnaan dalam lakonan yang dipersembahkan (siapa yang tak takut kan??) (^^,) 

Namun, hadir sedikit kelegaan di dalam hati tatkala melihat pensyarah yang masuk ke kelas ialah pensyarah lain (bukan pensyarah yang mengajar subjek tersebut sebelum ini..huhhh). Pensyarah yang mengajar kami ialah salah seorang pengarang sastera Melayu yang mendapat kedudukan penting dalam alur sejarah kesusasteraan Melayu Malaysia.  Beliau ialah Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah atau lebih dikenali dengan nama "MANA SIKANA". Ya, saya rasa amat teruja pada hari kedua menghadiri kelasnya apabila dimaklumkan oleh rakan saya bahawa beliau ialah "MANA SIKANA". Rasa bangga dapat menimba ilmu daripada seorang sasterawan yang sememangnya kaya dengan pengalaman dan bakat. Syukur di situ. 

Apa yang menariknya ketika kelas beliau berlangsung pada minggu kedua, beliau telah meminta kami secara spontan melakonkan pelbagai teknik lakonan seperti monolog, main peranan dan improvisasi bebas. (agak berdebar juga dada ni, takut jadi insan bertuah terpilih..hihi). Seronok sangat melihat aksi spontan rakan-rakan melakonkan monolog dan improvisasi bebas. Ada yang memiliki unsur humor dalam skrip spontan mereka dan keadaan ini sangat menceriakan kelas. Saya dapat lihat kreativiti skrip yang dilontarkan oleh rakan-rakan ketika melaksanakan apa yang diminta oleh pensyarah kami. Pada saya, kelas drama kami sangat ceria dan menyeronokkan. Saya sendiri seronok menghadiri kelas ini.



Ini antara pelakon berbakat okay (bakal mewarnai persada seni tanah air..hihi)


Ya, ini juga. Tengok, ada gayakan pelakon wanitanya tu..(^^,)

**Harapan : Moga kami semua sukses untuk subjek ini..AMIN..

.::WASSALAM::.

Isnin, 10 Januari 2011

Ambil Giliran Semasa Bercakap


Assalammualaikum w.b.t dan Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Sebelum itu, saya ingin bertanya kepada anda semua sama ada komunikasi itu penting ataupun tidak dalam kehidupan kita sehari-hari? Sudah pastilah jawapannya ya bukan? Semua sedia maklum bahawa komunikasi itu penting sebagai salah satu cara untuk kita menyampaikan maklumat, meluahkan rasa dan paling penting ialah untuk mengeratkan hubungan.  Jadi, sebagai salah seorang daripada ahli masyarakat, kita perlulah tahu serba sedikit tatacara untuk berkomunikasi bukan hanya tahu sedap berkata-kata sahaja. 

Hari ini saya dapat melihat bagaimana ragam rakan serumah saya (housemate) berbual 'kosong' dengan kawan baiknya.  Kadang-kadang, dengan kawan baik, kita bebas untuk bercerita dan bergurau apa sahaja. Tetapi, saya dapat lihat ketika mereka berbual-bual sesama sendiri, ada salah seorang daripada kawan kepada rakan serumah saya ini suka menghalang percakapan kawannya yang lain atau dalam erti kata yang mudah suka 'menyampuk'.  Sebagai contohnya, ketika mereka berbual, belum pun habis Si A berkata-kata, Si B pantas akan menyampuk tanpa memberi peluang kepada Si A untuk menyudahkan percakapannya. 

Antara isi perbualan mereka,

Si A : Kenapa diorang buat macam tu ek? Mesti sebab diorang... 

Si B : Alah diorang kan tak nak masuk kelas pagi-pagi.  Tak pasal-pasal kita yang kena ikut sekali.  

Si A: Haah kot.  

Begitulah lebih kurang isi perbualan mereka yang saya dengar.  Pada saya, Si B perlu memberi ruang kepada Si A supaya habis berkata-kata sebelum dia menyambung dengan percakapannya.  Tidak elok Si B menyampuk kata-kata Si A kerana ia mungkin menyebabkan Si A tidak selesa. Jadi, dalam berkomunikasi, kita perlulah tahu menjaga adab dan peraturannya. Jangan sesekali menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan orang sekeliling terhadap kita.

.::WASSALAM::.

Ahad, 9 Januari 2011

Bahasa Jiwa Bangsa



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

"Bahasa Jiwa Bangsa"? Ya, itulah tajuk blog saya dan penubuhan blog ini sebenarnya atas dasar serta tanggungjawab sebagai seorang pelajar dalam memenuhi sebahagian daripada tuntutan tugasan individu bagi subjek Sosiolinguistik Melayu (BML 3073). Alhamdulillah. Tidak sukar bagi saya untuk menubuhkan sebuah laman blog sebegini kerana sebelum ini saya telah memiliki blog peribadi sendiri. Jadinya, melalui pengalaman penulisan lalu dalam dunia blog, saya telah dapat mempraktikkannya bagi tugasan ini.

Mengapakah saya memberikan tajuk blog saya dengan nama "Bahasa Jiwa Bangsa"? Semua sedia maklum bukan dengan slogan atau tagline yang biasa kita dengan ini? Begitu tinggi nilai Bahasa Melayu itu sehinggakan dianggap sebagai jiwa kepada setiap bangsa yang menuturkannya tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Tingginya nilai Bahasa Melayu itu juga sehingga diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu ini juga telah dikongsi pelbagai kaum dan ini bermakna setiap lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, darjat dan umur mempunyai tanggungjawab yang cukup besar iaitu bersungguh-sungguh mempertahankan dan mendaulatkan Bahasa Melayu dalam semua aspek kehidupan seperti pendidikan, pentadbiran, sosial, budaya dan juga ekonomi.

Jadi, selain daripada memenuhi tuntutan tugasan individu bagi subjek Sosiolinguistik Melayu, laman blog ini juga bertujuan memperkatakan situasi penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat dewasa kini. Seiring dengan perubahan dan pembangunan yang wujud, Bahasa Melayu berhadapan dengan situasi-situasi bahaya seperti penggunaan bahasa SMS yang tidak terkawal. Setiap individu seharusnya dapat mengubah sikap dan mentaliti mereka agar dapat menggunakan Bahasa Melayu yang betul secara meluas dalam kehidupan seharian mereka. 

.::WASSALAM::.