Daisypath Vacation tickers

Selasa, 18 Januari 2011

Perlunya Penjelasan yang Pasti


Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Harapan saya, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

Perkara yang ingin saya kongsikan di sini ialah berkenaan dengan gelagat manusia. Fikiran dan hati terkadang letih memerhati gelagat manusia hari ini. Pelbagai ragam. Bermula dengan yang berpangkat sehinggalah orang biasa yang tidak punya apa-apa. Terlalu rencam untuk difahami dan dimengerti. Saya dapat merasakan bahawa kebanyakan manusia hari ini hanya hidup dalam dunia ciptaannya sendiri. Hanya tahu berkata itu dan ini tetapi pengisian dan tindakan belum tentu ada. Dunia semata-mata. 

Terkini, pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berhadapan dengan masalah kewangan yang agak teruk juga kerana sudah hampir sebulan (hampir memasuki minggu keempat) kuliah dijalankan, namun wang tersebut masih belum lagi diterima atau dikreditkan ke dalam akaun pelajar. Saya sendiri kurang mengetahui punca utama kelewatan wang tersebut dikreditkan ke dalam akaun pelajar kerana akhir-akhir ini telah timbul pelbagai versi berkenaan kelewatan tersebut. Ada yang mengatakan bahawa kelewatan tersebut berpunca daripada pihak pentadbiran (karenah birokrasi) dan tidak kurang juga yang menuding jari kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang tidak memainkan peranan dalam menjaga kebajikan para pelajar.

Namun, tiada surat hitam putih yang diterima daripada pihak pentadbiran berkenaan tarikh sebenar wang pinjaman tersebut akan dikreditkan. Pelbagai versi timbul lagi. Pada pandangan saya, pihak pentadbiran UPSI seharusnya dapat mengeluarkan satu memo atau surat pemberitahuan tarikh sebenar pengeluaran wang pinjaman tersebut supaya para pelajar tidak berterusan mendesak dan bertanya sehingga keadaan ini mungkin akan merimaskan mereka sendiri. Jadi, perlunya surat hitam dan putih untuk menentukan kesahihan tarikh tersebut dan bukan hanya mengambil sikap berdiam diri kerana menganggap sikap tersebut dapat menyelesaikan masalah. Namun, khabar terbaru yang saya terima, pihak bendahari UPSI telah memasukkan sejumlah wang pendahuluan terlebih dahulu ke dalam akaun para pelajar sementara menanti wang pinjaman dikreditkan. Jadi, nasihat saya di sini, perlu ada penjelasan yang pasti bagi mengelakkan timbulnya sebarang andaian dan tanggapan daripada mana-mana pihak.

.::WASSALAM::.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan