Daisypath Vacation tickers

Ahad, 9 Januari 2011

Bahasa Jiwa Bangsa



Assalammualaikum w.b.t & Salam 1 Malaysia...

Buat semua, moga kehidupan anda hari ini akan lebih baik dari sebelumnya.

"Bahasa Jiwa Bangsa"? Ya, itulah tajuk blog saya dan penubuhan blog ini sebenarnya atas dasar serta tanggungjawab sebagai seorang pelajar dalam memenuhi sebahagian daripada tuntutan tugasan individu bagi subjek Sosiolinguistik Melayu (BML 3073). Alhamdulillah. Tidak sukar bagi saya untuk menubuhkan sebuah laman blog sebegini kerana sebelum ini saya telah memiliki blog peribadi sendiri. Jadinya, melalui pengalaman penulisan lalu dalam dunia blog, saya telah dapat mempraktikkannya bagi tugasan ini.

Mengapakah saya memberikan tajuk blog saya dengan nama "Bahasa Jiwa Bangsa"? Semua sedia maklum bukan dengan slogan atau tagline yang biasa kita dengan ini? Begitu tinggi nilai Bahasa Melayu itu sehinggakan dianggap sebagai jiwa kepada setiap bangsa yang menuturkannya tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Tingginya nilai Bahasa Melayu itu juga sehingga diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu ini juga telah dikongsi pelbagai kaum dan ini bermakna setiap lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, darjat dan umur mempunyai tanggungjawab yang cukup besar iaitu bersungguh-sungguh mempertahankan dan mendaulatkan Bahasa Melayu dalam semua aspek kehidupan seperti pendidikan, pentadbiran, sosial, budaya dan juga ekonomi.

Jadi, selain daripada memenuhi tuntutan tugasan individu bagi subjek Sosiolinguistik Melayu, laman blog ini juga bertujuan memperkatakan situasi penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat dewasa kini. Seiring dengan perubahan dan pembangunan yang wujud, Bahasa Melayu berhadapan dengan situasi-situasi bahaya seperti penggunaan bahasa SMS yang tidak terkawal. Setiap individu seharusnya dapat mengubah sikap dan mentaliti mereka agar dapat menggunakan Bahasa Melayu yang betul secara meluas dalam kehidupan seharian mereka. 

.::WASSALAM::.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan